Selamat Datang ke Laman Nurani Mizz Nina...

Salam...
Apa khabar semua? Selamat datang ke
laman nurani Mizz nina. Apa agaknya yang bakal anda perolehi di sini? Apakah itu
bahasa ya? Anda pernah bercakap, menulis mahupun mendengar?

Kalau ia sudah tentu
anda adalah salah seorang pengguna bahasa. Tidak percaya? Jom kita melayari
laman nurani Mizz Nina ini... Selamat Berbahasa...


Thursday, April 9, 2009

KETIKA DAN KALIMAT...


Mengikut pakej yang telah disediakan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, aku selaku pelajar Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu perlu mengambil subjek Bahasa Dalam Multimedia. Tiada apa-apa yang bermain difikiranku tatkala subjek ini aku daftarkan kedalam sistem pendaftaran subjek-subjek semester. Apa yang aku fikirkan hanyalah aku perlu mengambil subjek ini kerana menepati bidangku dan termasuk dalam pakej. Bukan terasa dipaksa mengambil subjek ini, tetapi seperti yang aku terangkan tadi ianya telah ditetapkan oleh fakulti. Mahu tak mahu aku kena hadapi jua. Tapi menurut nama yang tertera dalam buku penjadualan, aku perlu berhadapan sekali lagi dengan Dr. Normahdiah iaitu pensyarah yang mengajar subjek Teori, Bahasa dan Kesusasteraan semasa aku berada dalam semester lima. Tak mengapalah, kerana aku telah faham dengan kehendak dan cara pensyarah ini mengajar. Selesai mendaftar, aku tinggalkan sahaja perkara tersebut. Tak ada apa yang perlu aku fikirkan. Insyaallah panjang umur semester depan aku akan menghadapi subjek-subjek baru.

Semester baru bermula. Aku kini berada di semester akhir. Pelajar tahun akhir sudah aku rupanya. Minggu pertama kuliah aku masih lagi liat hendak menghadiri kuliah. Malas bangun pagilah. Namun aku gagahkan jua dengan semangat baru bahawa aku akan menebus kembali apa yang aku telah lakukan kesilapan pada semester lepas. Kelas Bahasa dalam Multimedia aku hadapi pada setiap hari Rabu jam 12 tengahari hingga 2 petang. Sebelum itu aku ada kelas Bahasa Cina. Selesai kelas Bahasa Cina di Sanggar Bahasa, aku perlu berkejar ke Bilik Jauhari. Minggu pertama kuliah, pensyarah tiba. Namun bukan Dr. Normahdiah. Rupa-rupanya Dr. Normahdiah bercuti sakit dan digantikan dengan Dr. Normaliza dan Dr. Arbai’e Sujud, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universirti Putra Malaysia. Mereka menerangkan serba sedikit tentang subjek ini. Barulah aku mengerti apa yang bakal aku pelajari selama satu semester ini. Menarik juga ya.

Penerangan tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami disuruh untuk mengambil gambar nota yang ditayangkan. Tiada nota akan diberi secara ‘softcopy’ mahupun ‘hardcopy’. Pelik kan bunyinya? Namun agak menarik juga cara pengajaran Dr. Normaliza ini. Ada peluang aku nak beli kamera ni. Kalau nak ambil gambar nota guna telefon bimbit aku, nescaya aku tak dapat baca nota tu. Tahu kenapa? Telefon bimbit aku tu murah sahaja. Nokia 5300. Bila ambil gambar muka pon boleh kabur-kabur, ni lagilah nak ambil gambar nota kat depan tu. Aku berkira-kira dengan duit pinjaman PTPTN yang aku dapat saban semester mungkin mencukupi untuk aku membeli kamera. Dapat sambar yang murah-murah oklah. Janji dapat ambil gambar dan nampak terang gambar tu. Aku sudah mula merancang hendak keluar membeli kamera baru. Siapa ya yang bakal menemani aku semasa hendak membeli kamera nanti? Tak apalah, tu nanti aku fikirkan.

Penerangan seterusnya mengenai ahli kumpulan yang bakal bekerjasama dengan kami sepanjang semester ini. Dr. Normaliza mahukan seramai lima atau enam orang ahli dalam setiap kumpulan. Setelah sepakat berbincang akhirnya, ahli kumpulan rasmi sepanjang aku berada di Universiti Putra Malaysia ini akan menjadi ahli kumpulan aku. Mereka ialah Wan Noor Elleyana Bt Wan Abas, Nor Idayu Bt Muhammad, Najihah Bt Yusof, Najmie Munirah dan aku. Kesemuanya ada lima orang ahli. Tidak hanya mencari ahli kumpulan sahaja. Malahan kami perlu untuk mencari nama kumpulan kami. Apa pula ya nak bagi nama kat kumpulan kami ni? Setelah berbincang dan bersetuju akhirnya kami memilih untuk meletakkan nama Wonderpets sebagai nama kumpulan kami. Dengan harapan seperti tema kartun itu yang mementingkan kerjasama dalam pasukan akan menjadikan kami sentiasa bekerjasama dalam apa jua yang kami lalui. Kemudian kami diarahkan untuk menaip nama setiap ahli beserta nama kumpulan di hadapan. Di komputer hadapan kelas.

Lupa pula aku nak bercerita tentang keunikan kelas ini. Dr. Normaliza begitu mementingkan masa. Pelajar tidak dibenarkan lewat walaupun seminit. Siapa yang lewat akan dilarang masuk ataupun akan berdiri dihadapan kelas. Terasa ketat juga disiplin kelas ni. Aku dah mula takut. Bukan sebab aku sering lewat, namun aku ada kelas Bahasa Mandarin di Sanggar Bahasa sebelum itu. Memanglah kelas akan tamat sepuluh minit awal sebelum waktu sebenarnya, namun kelas Bahasa Cina akan tamat tepat-tepat 12 tengahari. Masalah juga ni. Macam mana ya?

Tak apalah, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Aku sangat-sangat berharap agar kelas Bahasa Cina ditamatkan awal sedikit agar aku dapat berlari pergi ke kelas Bahasa Dalam Multimedia sebelum Dr. Normaliza masuk ke kelas. Selain itu, Dr. Normaliza juga tidak menyukai pelajarnya yang berjalan dengan mengheret kasut atau selipar mereka. Bagi beliau, pelajar sebegini adalah pelajar yang malas dan tidak bersemangat dalam pelajaran. Betul juga pendapat Dr. Normaliza ini. Kalau dinilai dari sudut yang positif, peraturan yang dibuat akan menjadikan kami pelajar yang sentiasa kemas, bergerak pantas dan tidak leka.

Namun sebagai pelajar yang sering dimomokkan dengan kemanjaan, aku rasakan seolah-olah agak terbeban dengan peraturan sebegini. Bab datang awal tu yang aku paling tidak boleh terima. Yelah, sebab kelas sebelumnya tak mau lepaskan pelajar awal. Jadi, aku yang kena menjadi mangsa berlari-lari membawa tubuh montelku ke kelas Bahasa Dalam Multmedia. Penat juga kadang-kadang. Pernah sekali aku terpaksa berlari memotong Dr. Normaliza sewaktu hampir tiba di hadapan kelas. Kelakar bukan bunyinya, tapi itulah yang kami perlu lalui sepanjang semester ini.

Kita tinggalkan bab berlari ke kelas. Kita masuk pula pengalaman sepanjang menghadiri kuliah beliau. Beliau juga tidak gemar andai ada diantara pelajarnya tidak datang ke kuliah. Sekiranya ada antara pelajar yang datang lewat atau tidak hadir ke kuliah beliau, maka kumpulan yang dianggotai oleh pelajar tersebut akan ditolak markah. Agak tidak adil bukan? Yelah, bukan tugas kita nak jaga semua ahli yang ada dalam kumpulan kita. Dahlah semuanya datang dari kolej yang berbeza. Nak jaga dan pastikan semuanya hadir tepat pada waktu dan hadir setiap kali kuliah. Tapi dalam kepayahan itu juga aku dapat rasakan mereka menjadi lebih peka dengan apa yang berlaku terhadap kuliah ini. Apa tidaknya kalau markah dipotong disebabkan mereka, sudah pastilah mereka akan disalahkan oleh seluruh ahli kumpulan. Maka untuk menjaga air muka mereka, harus menjadi keutamaan untuk datang awal dan hadir jika tiada alasan yang benar-benar munasabah.

Kita beralih pula pada tugasan pertama kelas ini. Tugasan pertama meminta kami membawa maunting board, gam UHU, gunting, majalah terpakai, reben dan puncher. Kami disuruh untuk membuat komponen multimedia dan mempelajari asas grafik. Pelbagai ragam kami lihat sewaktu menghasilkan tugasan ini. Ini kerana kami perlu menyiapkan tugasan dalam waktu kuliah berlangsung. Penghantaran tugasan yang lewat akan menyebabkan markah bagi kumpulan tersebut dipotong. Selain itu, kami juga perlu membuat tugasan dengan kemas. Tugasan yang tidak kemas akan tidak dinilai oleh Dr. Normaliza. Agak tertekan aku dan ahli kumpulan. Yelah masa tu macam-macam ragam dalam ahli kumpulan dapat aku saksikan. Semuanya mahukan yang terbaik dalam tugasan pertama ini. Ini kerana pada permulaannya, kami diterangkan bahawa kelas ini senang nak dapat markah jika semua kehendak dan tugasan dibuat.

Pada masa kami sedang membuat tugasan, Dr. Normaliza telah memperkenalkan kami dengan Tutor yang akan mengajar kelas amali. Kami diperkenalkan dengan Cik Alia dan Cik Nurul. Kelas amali yang aku akan hadiri akan diajar oleh Cik Alia. Comel orangnya. Kami meneruskan tugasan hingga selesai. Bersepah kelas dengan bahan-bahan guntingan kami. Namun hamper sahaja pukul 2 petang kami dah mula kelam kabut nak menghantar tugasan tersebut. Berlari-lari kami pergi ke bilik Dr. Normaliza untuk menghantar tugasan. Selesai menghantar tugasan, kami berasa lega dan pulang.

Minggu berikutnya kami datang untuk kelas yang kedua. Aku yang datang dari kelas Bahasa Cina terpaksa berlari-lari anak masuk ke dalam kelas. Takut kena marah beb kalu masuk lewat. Malu aku 1 kelas tengok nanti. Fuh!! Selamat bila aku masuk jek Dr. Normaliza lom masuk lagi. Lantas aku cari kawan-kawan aku nak duduk sama. Minggu ke dua kami diberi tugasan lagi. Kali ini kami perlu menaip lapan muka surat esei yang bertajuk Permainan Komputer dan Kanak-Kanak. Dalam masa dua jam kami perlu menaip sehingga lapan muka surat kemudian sebelum jam dua petang kami perlu menghantar tugasan tersebut menggunakan email.

Sebelum hari tersebut Dr. Normaliza telah mangarahkan kami membawa laptop agar memudahkan kerja menaip. Namun satu laptop tidak mencukupi. Mujurlah saat-saat akhir kami menerima seorang lagi ahli kumpulan, iaitu Alifah. Dengan kekuatan dua buah laptop kami berjaya menyiapkan esei tersebut. Selesai hantar kami pun pulang. Apalagi, dengan pengalaman aku sebagai pendebat, bab membuat dan menggoreng ayat ni aku memang pakar. Tapi taklah pakar bahasa sangat. Cuma kalau jadi pendebat ni dari sebaris ayat kami telah dilatih untuk menjadikannya sehingga semuka surat panjangnya. Hahahahahahaha… bagus bukan. Kami bukan membebel tau tapi ada isi penting yang kami masukkan dalam esei kami tu.

Minggu hadapanya pula kami diarahkan untuk membawa kamera untuk mengambil gambar. Ya, aku akan gunakan kamera Olympus yang aku baru beli bersama si dia kat Low Yat. Hehehehehe. Warna biru lagi. Warna paling aku suka kat dunia ni. Cantik apa warna biru ni. Ketenangan. Masuk sahaja dalam kelas kami diberi penerangan serba sedikit tentang apa yang kami akan lakukan. Kami perlu bergaya dihadapan kamera dan mengambil seberapa banyak gambar. Selain itu kami juga perlu membuat tayangan multimedia yang kami pelajari sewaktu kelas amali. Pelbagai ragam kami lihat sewaktu mengambil gambar tersebut. Ada yang berbaring, ada yang berkaki ayam, ada yang buat ala-ala terjatuh. Kelakar juga kalau kami ingatkan. Selepas selesai sesi bergambar, kami pun pulang dan membuat pilihan gambar yang bakal kami gunakan untuk tayangan multimedia pada minggu hadapan. Bila lagi kami nak bergaya dihadapan kamera kan. Kalau nak mengharapkan kami masuk majalah atau televisyen sudah tentulah jauh panggang dari api. Kami tak fotogenik.

Minggu hadapan pula kami menyaksikan pelbagai persembahan multimedia dari kumpulan lain. Seronok juga ya. Ada pelbagai ragam gambar dan cara penyampaian mereka. Yela, masing-masing nak tunjukkan kehebatang masing-masing. Untung sabut nanti dapatlah markah tinggi. Kelas hanya berlangsung begitu sahaja. Seronok dapat lihat aksi rakan-rakan lain bergambar. Kalu dulu ada yang pemalu, namun bila bergambar mengalahkan artis terkenal. Jangan marah ya kawan-kawan. Hehehehe. Gambar yang kami ambil tersebut perlu memaparkan kesemua ahli kumpulan. Itu menunjukkan kami hadir ke kelas pada hari tersebut. Namun ada antara kumpulan yang tidak langsung memaparkan peribahasa mahupun simpulan bahasa. Agak kelakar namun kami pendamkan juga. Antara peribahasa yang kami letakkan ialah kaki ayam, talam dua muka dan pelbagai lagi. Dengan lagu iringan dalam persembahan tersebut membuatkan kelas tersebut tidak bosan. Kami sedar apabila kesemua kumpulan telah selesai mempersembahkan persembahan mereka dan jam telah menunjukkan pukul 2 petang. Kami pun pulang.

Minggu seterusnya kami diarahkan untuk membuat papan cerita pula. Kami diarahkan untuk membawa kertas lukisan, pensil, pensil warna dan stepler. Kami perlu untuk melukis gambar dan memilih tema bagi papan cerita kami. Kami sepakat untuk memilih tema perkahwinan. Kami setuju untuk menamakan e-majalah kami sebagai renjis. E-majalah ini akan memuatkan pelbagai cerita tentang perkahwinan dari dandanan, pakaian, perhiasan, hantaran, makanan, pelamin dan sebagainya. Pelbagai jenis baju dan perhiasan yang kami lukiskan. Namun aku bukan pandai sangat bab melukis ni. Kaku jek aku lihat gambar yang aku lukiskan. Jadi, kami ada pelukis tersohor kat kumpulan kami iaitu Elly. Ellylah yang banyak membantu kami melukis pakaian, barangan hantaran dan pelbagai lagi. Terima kasih Elly. Kami teruskan lagi kegiatan kami dengan meletakkan pelbagai warna dan gambar agar E-majalah kami kelihatan menarik. Terasa macam kanak-kanak pula. Yela, mewarna kat atas lantai. Macam-macam ragam yang kami lihat pada waktu tersebut. Kelakar pula ada kalau nak ingat kembali.

Selain aktiviti dan tugasan tersebut kami juga perlu membuat draf ‘billboard’. Pening juga kepala nak buat ‘billboard’ ni. Pelbagai cara kami buat. Mula-mula kami buat donat. Tapi ada ke orang letak donat kat ‘billboard’? kelakar pulak bila fakir. Akhir sekali kami sepakat nak buat tayar. Tayar keluaran syarikat kami diberi nama Wonder tyres. Lebih kurang macam nama kumpulan kami Wonderpets. Kami melukis pelbagai bentuk tayar yang sesuai dengan pelbagai jenis jalan raya. Untuk memanduan yang lebih selamat semasa jalan licin, jalan berbukit dan jalan bengkang-bengkok. Kelakar juga bila kumpulan perempuan bercerita dan melukis gambar tayar. Padahal kami tak penah pun mengambil tahu pasal tayar ni. Apa yang kami tahu hanya memandu kereta sahaja. Itupun hanya beberapa dari kami yang pandai memandu. Yang lain hanya jadi penumpang. Macam bos lagaknya. Hahahaha. Jangan marah kawan-kawan. Kami berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna dan menghantar tugasan di bilik Dr. Normaliza. Ada tugasan yang perlu dibaiki semula. Aduhai, kesian mereka. Kami pon tak tau nak tolong macam mana. Sebab dah memang macam itu cara Dr. Normaliza.

Ni ada lagi satu peristiwa yang aku nak kongsi bersama. Kami juga diarahkan untuk pergi membuat kerja amal di rumah anak yatim. Sebelum itu kami perlu untuk membuat kertas kerja dan kertas kerja ini perlu untuk ditunjukkan pada Dr. Normaliza. Apa yang membuatkan aku rasa nak marah apabila kerja yang sepatutnya dibuat oleh seluruh ahli kumpulan gagal dilaksanankan. Ini kerana ada yang diarahkan untuk membuat temujanji dengan Kompleks Kebajikan Rukaiyah tidak membuatnya dengan awal. Ini akhirnya membuatkan kami terpaksa pergi pada akhir mingg sebelum persembahan tugasan. Namun begitu, dengan langkah yang betul kami akhirnya berjaya melaksanakan tugasan tersebut dengan sempurna.

Ini adalah antara objektif lawatan ini. Antaranya ialah menimba pengalaman dari perspektif kemasyarakatan dan kepimpinan yang berkonsepkan pengintegrasian ilmu mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Menjana mahasiswa yang lebih prihatin sekaligus mencorakkan bakal pemimpin yang berwibawa, berdaya saing, proaktif dan menerapkan etika kerja yang profesional. Mewujudkan ukhwah persahabatan dan persaudaraan yang erat antara mahasiswa dengan anak-anak yatim. Mengubah persepsi dan mentaliti anak anak yatim tentang kepentingan pendidikan pada diri mereka. Membina modal insane berfikiran kelas pertama seiring dengan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia. Berkongsi ilmu pengetahuan dan ketrampilan berbahasa dengan anak-anak yatim.

Sebelum kami pergi ada cerita yang kami nak sampaikan. Kami terpaksa membuat pelbagai temujanji dengan Dr. Normaliza. Susah juga nak bertemu beliau ni. Ada tu beliau tidak sihat dan temujanji kami dibatalkan. Kami mulai risau kerana kami akan pergi tak lama lagi ke rumah anak yatim tersebut. Maka kami perlu berjumpa dengan beluia untuk membincangkan hal yang berkaitan dengan perjalanan kami. Pada satu hari kami akhirnya berjaya menemui beliau. Namun ada diantara ahli kumpulan kami yang gagal datang tepat pada waktunya. Dahlah Dr. Normaliza ini begitu rijid dengan masa. Kami perlu menelefon kesemua ahli kumpulan untuk datang cepat.

Apabila semuanya telah ada kami pon berjumpa dengan beliau. Masalah pertama muncul apabila kami gagal menjawab soalan dengan pantas dan teratur. Kami diarahkan untuk keluar dan berbincang dahulu selama lima minit sebelum datang kembali menerangkan kepada beliau. Kami keluar dah berbincang semula. Kami membahagikan ahli kepada tugasan-tugasan yang ada. Bukan kami tak bersedia namun kami gagal menjawab denganteratur. Itulah yang menjadi masalah pada kami. Ala. Kawan-kawan cakap jek dengan cofident. Kita kan pelajar universiti. Perlu ada kekuatan.

Kami pergi ke Kompleks Kebajikan Rukaiyah pada 22 Mac 2009. Perjalanan hanya mengambil kira-kira 15 minit dengan berkereta. Kami tiba agak lewat dari masa yang dirancang kerana kami perlu berhenti membeli kelengkapan gotong-royong di kedai berdekatan. Apa yang kelakarnya kami tiba di kedai untuk membeli kelengkapan gotong-royong namun kedai tersebut belum buka lagi. Kami terpaksa mencari kedai lain dan akhirnya kami dapat juga membeli kelengkapan tersebut. Kami tiba kira-kira jam 9 pagi. Sampai sahaja di rumah tersebut kami lihat anak-anak disitu baru lepas mandi dan bersarapan. Kami terpaksa menunggu untuk mengumpulkan kesemua anak-anak tersebut di dalam bilik makan. Pelbagai peringkat umur ada. Ada yang kecil dan ada yang besar. Tersentuh juga hati ini saat pertama kami melihat renungan mata si kecil yang kehilangan kasih saying sejak kecil. Apa yang ada mereka menumpang kasih di rumah ini.

Sesi pertama ialah sesi memperkenalkan diri. Aku selaku ketua rombongan memulakan mukadimah sedikit. Kami memulakan perkenalan dengan sesi ice-breaking. Akulah yang mula-mula sekali kena bercakap. Ada antara kanak-kanak ini yang bertanyakan umur aku. Bila aku jawab aku berumur 23 tahun ada pula yang menyampuk mengatakan aku dah tua. Hahahha. Kelakarlah mereka ni. Ada soalan yang aku akan ingat sampai bila-bila apabila ada yang bertanyakan samada aku telah berkahwin atau belum. Dasar kanak-kanak semuanya dia nak ambil tahu. Sesi perkenalan berlangsung dengan baik sekali. Selesai kami memperkenalkan diri, kini tiba giliran mereka pula. Kalau tadi ramai yang bermulut becok bertanyakan itu dan ini, kali ni giliran kami pula yang bertanyakan soalan kepada mereka. Apalagi, mulalah mereka malu, tutup muka, ada yang ketawa bila ditanya. Terhibur juga aku dengan telatah mereka ni. Kami juga bertanya tentang cita-cita mereka. Ada yang nak jadi askar, bomba, guru, polis, doktor dan sebagainya. Bercita-cita tinggi juga mereka ni ya. Bagus adik-adik.

Sesi seterusnya adalah sesi regangan badan. Kami akan membuat senaman pemanasan badan sebelum memulakan gotong-royong. Kami akan menunjukkan cara yang sebetulnya untuk sesi pemanasan badan. Pelbagai karenah dan aksi yang kami dapat saksikan. Ada antara mereka yang tidak mahu mengikut. Kata mereka selalunya waktu begini mereka bebas bermain atau membuat kerja lain. Namun kami cuba pujuk dan akhirnya mereka berminat untuk menyertai kami. Sesi ini pada awalnya ialah untuk membuat tarian poco-poco. Namun kami terpaksa membatalkannya kerana berdekatan dengan kompleks ini adalah rumah tahfiz. Apabila kami melakukan poco-poco ini akan menggunakan muzik dan ini akan mengganggu pelajar-pelajar tahfiz yang ingin menghafal. Namun kami teruskan juga dengan senaman pemanas badan.

Seterusnya kami akan mengadakan gotong royong membersihkan kawasan sekitar rumah anak yatim ini. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan membersihkan kawasan yang berlainan. Banyak juga sampah dirumah mereka ni ye. Kawasan sekitar tidaklah terlalu besar. Namun mereka perlu berkongsi segalanya untuk hidup dan tinggal di sini. Itulah harga yang mereka perlu bayar untuk sebuah kasih sayang. Terharu aku tatkala ada antara anak-anak ini yang ditinggalkan sejak dari kecil. Sepatutnya pada usia sebegini mereka masih bermanja dan dimanja oleh keluarga. Namun mereka terpaksa berkongsi kasih di rumah ini. Inilah pengalaman yang paling aku dapat rasakan begitu menikan di kalbuku. Sedih juga bila fikirkan aku sebenarnya begitu mendapat kasih sayang yang terlebih dari keluargaku. Namun kadang-kadang aku tak hargainya. Jika dibandingkan dengan mereka, mereka lagi mendambakan kasih sayang itu.

Setelah penat bergotong-royong dan kawasan sekitar juga telah bersih, kami berkumpul semula di dalam bilik makan. Tentu mereka kehausan setelah bertungkus-lumus. Kami menjamu mereka dengan roti dan air mineral. Mereka makan dengan berselera sekali. Entahlah melihat mereka makan dan minum seolah-olah aku kenyang juga. Tiba-tiba aku teringat arwah ibuku. Hah, usah kisah silam itu datang kembali. Sedih, teringatkan ibu yang dikasihi pergi mengadap Ilahi saat aku perlukan kasih dan sayangnya.

Selesai makan kami adakan pula sesi tayangan multimedia memaparkan Universiti Putra Malaysia. Kemudian kami memaparkan cerita teladan Upin dan Ipin. Ini hanyalah untuk menarik minat mereka agar tidak terlalu bosan dengan aktiviti yang dijalankan. Mereka bergelak ketawa dengan telatah Upin dan Ipin dalam rancangan tersebut. Namun, kami bukan hanya membiarkan mereka menonton cerita dan membuang masa begitu sahaja. Kami juga menyelitkan aktiviti dalam tayangan tersebut. Selesai tayangan, mereka akan ditanya tentang perkara-perkara yang terdapat dalam cerita tersebut dan mereka akan diberi ganjaran berupa gula-gula. Mereka sangat teruja untuk menjawab soalan. Aktiviti ini sebenarnya dapat memupuk diri mereka agar sentiasa peka dengan apa yang mereka lihat dan dengar.

Kemudian tengahari mereka akan makan tengahari. Kami lihat mereka mengambil makanan dan kami pergi keluar untuk menikmati makan tengahari. Kami makan di kedai yang berhampiran. Selesai makan kami pulang kembali ke kompleks tersebut dan sembahyang berjemaah dengan adik-adik di situ. Syahdu terasa apabila kami sama-sama berjemaah. Adik-adik ini begitu peka dengan jadual mereka. Mudah-mudahan aktiviti sebegini menjadikan mereka kuat dalam menghadapi dugaan yang mendatang semasa mereka besar kelak.

Selepas itu kami pon memulakan aktiviti seterusnya iaitu aktiviti belajar bahasa. Kami membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan mengikut peringkat umur. Kanak-kanak yang berumur lapan tahun diberi kertas untuk mewarna manakala yang lain diberi latihan tatabahasa dengan kawalan dan tunjuk ajak dari kami. Selesai latihan tersebut mereka boleh meminta kami menunjuk ajar latihan atau kerja rumah yang mereka tidak faham. Adalah sedikit sebanyak kami membantu mereka. Walaupun tidak besar mana pertolongan kami namun kami harap mereka akan mendapat sedikit sebanyak pengetahuan.

Selepas itu kami adakan aktiviti di mana mereka perlu membuat logo kumpulan dan sorakan kumpulan mereka sendiri. Pelbagai gelagat dan cara kami dapat saksikan sewaktu mereka membuat logo. Ada yang begitu berbakat dan cantik pula hasil tangan mereka membuat logo. Untuk sorakan kumpulan pula kami membantu mereka mendapatkan sorakan yang paling bagus. Kami bergelak ketawa bersama-sama apabila menyaksikan pelbagai ragam dan sorakan yang ada. Ada yang membuat logo berbentuk kancil. Rasionalnya mereka mahu menjadi bijak dan pintar seperti kancil. Bagus juga mareka ini. Ada juga kumpulan yang menggunakan nama UPM sebagai nama kumpulan mereka. Namun bukanlah Universiti Putra Malaysia. Tapu mereka rupa-rupanya menggunakan U sebagai usaha, P sebagai pintar, dan M sebagai maju. Bagus juga idea ini. Apa-apapun adik-adik ini sememangnya berbakat besar dalam mengolah sesuatu perkara.

Selesai menyaksikan mereka membantangkan hasil kerja mereka, kami mula terasa akan meninggalkan mereka. Berat rasa hati nak meninggalkan adik-adik ini. Terasa kami telah semakin rapat dengan mereka. Namun sebagai tanda kenangan kami ada menyediakan pelbagai hadiah sebagai tanda kenangan buat mereka. Agar mereka sentiasa ingat akan kami. Sesi penyampaian hadiah berlangsung dengan tenang. Mereka mendapat botol air dan juga makanan ringan. Terukir senyuman diwajah mereka. Kepada pengurus rumah kebajikan tersebut juga kami ada menyediakan cebderamata agar kami sentiasa dihati mereka. Sebelum pulang kami juga mengambil gambar bersama-sama agar ada kenangan yang kami simpan sepanjang sehari kami disitu. Kami mengambil gambar beramai-ramai dan juga menemubual Cikgu Man yang juga bekerja di Kompleks Kebajikan tersebut. Temubual ini akan kami selitkan dalam tayangan multimedia anti.

Kali ini kita bercerita pula tentang kelas amali yang berlangsung pada hari Khamis jam 8-10malam. Kelas ini pun tak boleh lewat juga. Aduhai, dahlah bus tak ada ke fakulti waktu-waktu macam ni. Nampak gaya kena jalan kakilah kami. Jauhlah juga. Tak apalah, kurang sikit lemak-lemak kat badan ni. Tapi kadang-kadang kalau ada bas kami naik bas juga. Ikut mood juga kadang-kadang. Hehehehehehe. Pernah juga kami terlewat tiba. Tapi nasib baik Cik Alia baik hati. Minggu pertama kuliah tak ada lagi kelas amali. Tapi tulah kelas ni malam Khamis. Biasanya aku akan pulang ke kampung pada hari Khamis. Namun bila ada kelas malam terpaksalah aku pulang ke kampung pada hari Jumaat pagi. Aku memang suka balik kampung. Aku kan anak mithali. Mana boleh tinggalkan kampung lama-lama. Hehehehehehehe.

Minggu kedua kami mulakan pelajaran dengan membuat tayangan multimedia menggunakan Power Point. Kami perlu memilih tajuk yang lain dari semua pelajar. Maka tajuk yang aku pilih ialah Kemiskinan Tegar : Sampai Bila? Aku mula mencari gambar untuk dipaparkan. Belajar memasukkan lagu ke dalam tayangan. Semuanya aku pelajari dari kelas ini. Aku ni boleh lah dikategorikan gunakan komputer hanya untuk menaip dan buat assignment. Yang lain aku mana tahu. Bukan tak mahu belajar tapi aku anggap benda ni tak berguna sangat. Kemudian aku dan rakan-rakan belajar menbuat kalendar. Berguna juga pengetahuan ini. Pelbagai gambar aku letak dalam kalendar aku. Hasilnya kini kalendar itu aku letakkan di atas meja belajarku. Cantik je aku pandang. Minggu berikutnya kami membuat laman web. Tentang diri sendiri. Aku letakkan cerita tentang diriku, keluargaku dan juga dunia debatku. Banyak gambar yang memberi seribu kenangan aku letakkan dalam laman web tersebut. Laman tersebut aku namakan sebagai laman nurani Mizz Nina.

Tugasan terahkir adalah menulis blog. Kami perlu menemubual tokoh penulis yang ada disekitar kami. Aku memilih Dr. Arbak sebagai tokoh aku. Pelbagai cerita tentang beliau aku garap dan masukkan ke dalam blog aku. Mudah-mudahan siapa yang membacanya akan dapat mengetahui perjalanan hidup Dr. Arbak ini. Malam ini adalah amali terakhir dan juga kelas terakhir aku di UPM, Insyaallah. Aku harap aku akan berjaya suatu hari nanti. Buat Dr. Normaliza dan Cik Alia sekalung terima kasih kerana menyalurkan ilmu anda. Juga buar Dr. Arbai’e. terima kasih juga buat teman-teman seperjuangan, andalah pendorong aku untuk berjaya. Semoga anda berjaya pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment